MITSUBISHI Triton enjin baharu.
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Trak pikap popular keluaran Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini tampil dengan enjin baharu yang menggunakan blok aluminium bagi memberi lebih prestasi dan jimat minyak sehingga 15 peratus.

Enjin turbo diesel MIVEC berkapasiti 2.4 liter juga menjadi penanda aras baharu apabila menjadi trak pikap pertama menggunakan material berkenaan.

Selain itu, ia dilengkapi teknologi pemasaan pemboleh ubah injap MIVEC yang menghamburkan ‘output’ 181PS berbanding 178PS sebelum ini, selain kuasa tork meningkat sehingga 30Nm menjadikan 430Nm.

Sebelum ini, teknologi MIVEC hanya digunakan pada enjin petrol yang mana ia membolehkan kawalan pada injap secara lebih kemas sebelum diserapkan pada rangkaian kuasa diesel.

Penggunaan blok aluminium itu adalah lebih ringan sehingga 30 kilogram berbanding besi tuang tradisional dan pada masa sama mengekalkan tahap kebolehpercayaan serta kelasakan seperti kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi yang lain.

Malah, bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) juga diperkemaskan menjadikan Triton baharu lebih senyap dan selesa dipandu, selain penggunaan rantai pemasaan mengurangkan kos penyenggaraan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Yang Won-Chul berkata, kira-kira 15 tahun lalu, Mitsubishi L200 adalah trak pikap pertama di Malaysia yang menawarkan transmisi automatik.

“Pada 2008, Mitsubishi Triton meningkatkan lagi penanda aras dengan menawarkan enjin 3.2 liter, dan empat tahun kemudian memperkenalkan Triton VGT menggunakan ‘Variable Geometry Turbo’.”

“Penambahbaikan terbesar bagi Trition baharu ini menandakan satu lagi pencapaian MMM untuk memenuhi kehendak pengguna sama ada pemanduan bekerja atau beriadah, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, Triton memegang 15 peratus penguasaan pasaran dalam segmen trak pikap dalam tempoh Januari sehingga Julai 2016 dan turut menyumbang hampir 50 peratus jualan keseluruhan MMM.

Menurutnya, pihaknya juga menyasarkan 500 unit sebulan bagi model baharu itu.

Mitsubishi Triton dengan enjin baharu ditawarkan dalam empat varian dan model utama adalah Triton VGT Adventure X selepas dilengkapi aksesori Pelindung Tambahan pada bampar hadapan, Bar Sports baharu berserta ‘Fullbox’ dan rim aloi 17 inci dwiwarna.

Varian Triton VGT Auto dan VGT Manual turut dipertingkatkan dengan lampu hadapan Bi-Xenon HID yang dilengkapi lampu siang LED.

Sama seperti sebelum ini, semua model baharu Triton diimport sepenuhnya dari hab pengeluaran global Mitsubishi Motors di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:02 AM