KEADAAN di lokasi kemalangan. FOTO ihsan polis
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Sri Aman: Dua maut, termasuk seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 62, Jalan Sri Aman-Sarikei, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu membabitkan dua Perodua Alza, sebuah lori treler membawa muatan tong gas, van dan Perodua Viva.

Pemandu Perodua Alza putih, Konstabel Joe Garysion Bekeng, 31, dan pemandu van yang belum diketahui identiti yang tersepit dalam kenderaan masing-masing disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, empat individu yang menaiki Perodua Alza hitam cedera ringan dibawa ke Hospital Betong untuk rawatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada lori treler datang dari Sri Aman, ketika menuruni bukit berselekoh hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan.

"Lori treler itu melanggar sebuah van Toyota, menyebabkan van berpusing dan melanggar Perodua Alza hitam dinaiki empat penumpang.

"Sebuah Perodua Viva melanggar kiri belakang Perodua Alza hitam dan lori treler yang terbabas kemudian merempuh sebuah Perodua Alza putih yang berada di laluan Betong ke Sri Aman," katanya.

Katanya, ketika kejadian cuaca dan jalan dalam keadaan baik.

"Kes disiasat mengikut Seksten 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 5:07 PM