POLIS mengawal keselamatan di Gereja Notre Dame. - AP

Paris: Seorang wanita berusia 19 tahun ditahan di Perancis susulan penemuan kereta dipenuhi silindar gas di Paris, minggu lalu, dilaporkan bersumpah setia kepada kumpulan militan Daish dan melancarkan serangan di Paris dalam tempoh terdekat.

Presiden Francois Hollande berkata, serangan dirancang Ines Madani itu bersama dua wanita lain berusia 23 dan 29 tahun berjaya dipatahkan dengan penahanan mereka.

Seorang polis cedera ditikam manakala Ines ditembak selepas melawan ketika ditahan di Paris, kelmarin.

Dia ditahan susulan penemuan kereta ayahnya di Gereja Notre Dame, Ahad lalu, diisi lima silinder gas dan tiga botol diesel di dalam butnya yang dipercayai pihak berkuasa mahu digunakan dalam serangan di stesen kereta api di sekitar Paris.

Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve berkata, ketika ditangkap polis menemui surat pada Ines yang mengaku setia kepada Daish.

Selain itu, empat yang lain terdiri daripada dua beradik lelaki dan teman wanita masing-masing turut ditahan berhubung penemuan kereta terbabit.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 8:09 AM