SEBAHAGIAN penyokong Johor DT ceria bersama skaf mewarnai Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru.
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) melakar sejarah bola sepak tanah air apabila muncul pasukan pertama melakar hatrik kejuaraan Liga Super selepas membenam Terengganu 3-0 pada aksi di Stadium Larkin, malam tadi.

Sejak wisel permulaan, tuan rumah sudah menunjukkan kesungguhan Harimau Selatan untuk memburu kemenangan tetapi rembatan deras Azamuddin Akil pada minit kedua berjaya didakap kemas penjaga gol Terengganu Mohd Sharbinee Allawee.

Ketika tuan rumah ghairah mengasak ke kubu lawan, Terengganu berjaya mengintai ruang menerusi serangan balas pantas tetapi hantaran Bogdan Milic kepada Issey Nakajima Farran gagal disudahkan dengan baik.

Johor DT yang dikendalikan Mario Gomez kembali menggandakan asakan dan beroleh peluang yang hampir menghasilkan jaringan pada minit ke-20 tetapi tandukan Aidil Zafuan Abd Radzak melepasi palang gol.

Selepas bertali arus menggempur benteng pelawat, pemain pertahanan Mohd Dhiyal Rahman Hasry melakukan kesilapan dengan menjatuhkan S Kunanlan dan pengadil perlawanan Teoh Hee Loon tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Jorge Pereyra Diaz yang sudah mengumpul 15 gol sepanjang aksi liga tampil menyempurnakannya bagi membolehkan tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-28 dan kedudukan itu kekal hingga tamat babak pertama.

Pada awal babak kedua, corak permainan kedua-dua pasukan tampak kembali seimbang apabila saling berbalas serangan ketika skuad kendalian Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor memburu jaringan penyamaan namun kekentalan benteng tuan rumah yang diterajui Marcos Antonio dan Aidil Zafuan kerap mengecewakan usaha lawan.

Tuan rumah juga tidak melepaskan peluang untuk mengasak ke kubu pelawat dan pada minit ke-59, Mohd Amri Yahyah membuat cubaan menarik tetapi berjaya ditampan Mohd Sharbinee.

Skuad Harimau Selatan melenyapkan sisa perjuangan skuad Penyu pada minit ke-82 selepas tindakan Mohd Sharbinee menjatuhkan Diaz membawa padah apabila Hee Loon sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Safiq Rahim.

Ketika aksi berbaki lima minit untuk ditamatkan, Diaz melengkapkan malam gemilang Johor DT apabila menjaringkan gol ke-17 peribadi hasil umpanan Azamuddin.

Trofi Liga Super akan diserahkan kepada Johor DT pada 24 September.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 7:52 AM