RAZIE (kiri) merai jaringannya bersama rakan sepasukan.

Kuala Lumpur: Kehadiran semula pakar pukulan sudut penalti negara Muhammad Razie Rahim nyata memberi impak besar apabila membantu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menang 3-0 ke atas Sapura pada saingan Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia semalam.

Susulan kemenangan itu, KLHC merampas kedudukan teratas liga daripada Sapura. KLHC kini mempunyai 17 mata, dua mengatasi Sapura.

Perlawanan yang diramal berlangsung sengit bertukar ‘berat sebelah’ apabila KLHC dilihat mendominasi permainan dengan Razie meletakkan KLHC di depan pada minit ke-12 menerusi pukulan sudut penalti.

Razie yang sedang menjalani kursus latihan asas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tampil kali pertama bersama KLHC semalam, kemudian menambah gol kedua, juga menerusi pukulan sudut penalti minit ke-30.

Belum sempat Sapura memperkemaskan rentak permainan, penyerang Muhammad Haziq Samsul menjadikan kedudukan 3-0 menerusi jaringan padang minit ke-32.

Ketua jurulatih KLHC Muhammad Harun Al-Rashid Samri menganggap kehadiran Razie dan Nabil Fiqri Mohd Noor yang turut menjalani kursus asas PDRM nyata memberi nafas baru kepada corak permainan mereka semalam.

“Saya hanya mendapat pengesahan pelepasan untuk Razie dan Nabil beberapa jam sebelum bermulanya perlawanan hari ini (semalam).

“Untuk perlawanan pertama mereka, saya rasa ia sudah cukup baik. Khidmat mereka amat diperlukan pada baki perlawanan liga selepas ini.

“Apapun yang penting kami dapat meraih tiga mata penuh dan menduduki tangga teratas liga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 7:46 AM