TERTUDUH (kiri) diiringi pegawai SPRM Negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
am@hmetro.com.my


Seremban: Anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki berhubung kes dadah pada 19 dan 20 April lalu.

Tertuduh, Konstabel Abdul Muthalib Saripuzaini, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Fathiyah Ideris sebaik pendakwaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta RM800 daripada Razif Sidek yang memasukkan dadah dalam tubuhnya di belakang lot kedai bernombor 140, Jalan S2 E8, Garden Homes, Seremban 2 pada 5.15 petang, 19 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang terbabit di tempat letak kenderaan di Petronas City Park, Seremban 2, 12.20 tengah malam pada 20 April lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mendengar pengakuan tidak bersalah, Fathiyah menetapkan 10 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Jaminan RM8,000 turut diberikan bagi kedua-dua pertuduhan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 1:21 PM