Anggota bomba, paramedik dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu mangsa yang cedera. FOTO ihsan bomba
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kuala Krai: Dua beradik cedera di kaki dan tangan selepas pacuan empat roda terbabas dan merempuh gerai buah-buahan mereka di Kilometer 63 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Tok Bok, di sini, 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, pemandu pacuan empat roda berusia 62 tahun itu dari Kuala Krai ke Machang hilang kawalan sebelum kenderaan dipandu terbabas ke kiri jalan dan melanggar gerai buah-buahan.

Katanya, akibatnya, Noor Laila Zakaria, 21, dan abangnya, Nawawi, 25, yang menjual buah-buahan di gerai itu cedera.

“Pemandu pacuan empat roda tidak cedera. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk dirawat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Che Razak Harun berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada 4.57 petang dan enam anggota bomba ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 10:53 PM