Operasi mencari Siti Nor Auni giat dilakukan. FOTO Aswadi Alias
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: Budak perempuan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam parit berhampiran rumahnya di Taman Setia, Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, dekat sini, petang tadi.

Siti Nor Auni Sufiya Mohd Rosli, 7, terjatuh ke dalam parit sedalam dua kaki (0.6 meter) sebelum dihanyutkan arus deras, kira-kira 6 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Jaswari Awang berkata, mangsa dikatakan bermain-main di kawasan itu yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya bersama dua rakan.

Katanya, ketika bermain, selipar yang dipakai mangsa tercabut dan dihanyutkan aliran air akibat hujan.

"Ketika kejadian, hujan lebat dan ketika cuba mengambil seliparnya mangsa tiba-tiba terjatuh ke dalam parit.

"Sebaik terjatuh, mangsa dihanyutkan sebelum kedua-dua rakan sepermainannya itu berlari pulang memaklumkan kejadian itu kepada ibu mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:44 PM