Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Seremban: Peniaga lelaki warga Saint Kitts & Nevis didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menggunakan Mykad palsu, bulan lalu.

Hukuman dijatuhi Majistret Nurulfitriza Abd Latif selepas tertuduh Lin Juncong, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki Mykad palsu atas nama Lam Poh Seng sebagai pengenalan diri di Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, jam 10.50 pagi, pada 20 Ogos lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Shah Amirul Gautamaruban manakala tertuduh diwakili Datuk Hanif Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 5:34 PM