CHANDRA menunjukkan kenderaan yang dirampas dalam tangkapan Geng Minzhi. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Polis menahan lapan individu termasuk tiga wanita yang menggangotai kumpulan sindiket dikenali sebagai Geng Minzhi selepas didapati terbabit dalam 12 kes curi kereta dan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, dalam tangkapan berasingan bermula 28 Ogos hingga 1 September lalu itu, semua suspek berusia 18 hingga 33 tahun dicekup kerana didapati terbabit secara lansung dengan aktiviti haram berkenaan.

"Seorang daripada suspek lelaki yang berusia 33 tahun dikenali sebagai Minzhi dan disyaki dalang utama kepada kumpulan ini turut ditahan.

"Kumpulan sindiket ini disyaki bergiat aktif sekitar Ogos lalu dengan membabitkan 12 kes pecah rumah dan curi kenderaan di Kota Kinabalu sehingga menyebabkan kerugian RM500,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Semua suspek kini direman mengikut Sekysen 457, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 3:27 PM