TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas didakwa. FOTO Supiian Ahmad
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan enam wanita warga asing untuk tujuan eksploitasi seksual pada Ogos lalu.

Tertuduh Chong Lim Fatt, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 1 Jalan Siswa, Taman Siswa, Kampar, dekat sini antara 2 hingga 18 Ogos lalu, 12 tengah hari hingga 2 pagi.

Lim Fatt didakwa melakukan ekploitasi seksual ke atas enam wanita warga Thailand berusia lingkungan 30 hingga 49-an.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, Muhammad Fauzi Md Yusof dan Nurul Azriah Zaid mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Tertuduh yang diwakili peguam Bernard Francis bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas keenam-enam pertuduhan yang dihadapi dan minta dibicarakan.

Ikmal Hishan kemudian membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 29 September ini.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 3:10 PM