PENUMPANG perlu tahu hak membeli tiket dan terbang dengan syarikat penerbangan.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Berikut antara hak penumpang yang anda perlu tahu sebelum menempah dan menaiki pesawat bagi syarikat penerbangan yang beroperasi sama ada di dalam atau luar negara.

Tambang penerbangan

Pelanggan mempunyai hak penuh untuk mengetahui kos keseluruhan tiket penerbangan termasuk tambang asas penerbangan, cukai, sebarang caj seperti bahan api dan lapangan terbang, bayaran tambahan dan yuran seperti bagasi dan keselamatan serta bayaran perkhidmatan penumpang. Pastikan segala maklumat pembayaran dicatat secara terperinci dan tiada caj tersembunyi.

Larangan menaikkan harga tiket selepas pembelian

Syarikat penerbangan dilarang menaikkan harga tiket selepas bayaran dibuat kecuali kenaikan itu berdasarkan dua perkara iaitu caj atau cukai kerajaan atau bayaran dikenakan Suruhanjaya. Kenaikan caj juga dibenarkan jika penumpang diberi notis kemungkinan kenaikan harga dan bersetuju secara bertulis sebelum menyempurnakan pembelian.

Larangan menambah perkhidmatan secara automatik

Penumpang seharusnya diberi pilihan dan sebarang khidmat tambahan yang ditawarkan perlu dinyatakan dengan jelas dan telus ketika proses menempah atau membeli tiket. Sebarang khidmat tambahan hendaklah dipilih secara manual dengan pengguna memilih mana-mana perkhidmatan yang dikehendaki mereka.

Perubahan status penerbangan

Penumpang perlu dimaklumkan status penerbangan mereka termasuk penundaan, pembatalan dan penukaran laluan secepat mungkin. Penumpang boleh diberitahu sama ada melalui mesej pesanan ringkas, panggilan telefon atau e-mel.

Tidak dibenarkan menaiki pesawat

Penumpang yang tidak dibenarkan menaiki pesawat perlu menerima penjagaan atau pampasan minimum seperti makanan, panggilan telefon terhad dan akses kepada Internet sekiranya ada. Penumpang juga boleh menerima penginapan jika perlu dan pengangkutan dari lapangan terbang ke lokasi penginapan. Paling penting, penumpang perlu diberi pilihan sama ada pembayaran balik atau perubahan laluan.

Pembatalan penerbangan

Bagi pembatalan penerbangan, penyedia penerbangan perlu menawarkan pampasan minimum seperti pilihan untuk pembayaran balik atau perubahan laluan.

Kehilangan, kerosakan atau kelewatan bagasi

Jika bagasi tidak sampai dalam penerbangan sama, sama ada disebabkan hilang atau rosak, penumpang boleh membuat tuntutan pampasan daripada syarikat penerbangan. Penumpang layak menerima tuntutan sehingga SDR1,131 (nilai SDR berdasarkan empat mata wang utama iaitu Dolar Amerika Syarikat, Euro, Yen Jepun, dan Pound Sterling) dianggarkan sekitar RM6,200.

Penundaan penerbangan

Penumpang perlu diberi pampasan jika penerbangan ditunda lebih dua jam. Jika melebihi dua jam, penumpang boleh menerima perkhidmatan minimum seperti makanan, panggilan telefon terhad dan akses Internet jika ada. Jika penangguhan berlarutan sehingga lima jam, penumpang seharusnya menerima penginapan hotel jika perlu dan pengangkutan pergi dan balik antara lapangan terbang ke hotel.

Tuntutan dan pampasan bagi Orang Kurang Upaya (OKU)

Kehilangan atau kerosakan peralatan pengangkutan atau kerusi roda penumpang warga OKU membolehkan tuntutan pampasan mengikut harga pasaran alatan berkenaan. Penafian untuk mendarat bagi warga OKU pula membolehkan mereka menerima pilihan sama ada menerima pembayaran balik, penerbangan pulang atau perubahan laluan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 12:36 PM