Husam Musa.
Nasharuddin Muhammad

Selepas agak lama berteka-teki, akhirnya bekas Naib Presiden PAS yang dipecat daripada parti itu, Datuk Husam Musa mengambil keputusan menyertai parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) secara rasmi pada malam ambang merdeka yang lalu.

Menariknya, beliau berbuat demikian di Cyberjaya yang terletak tidak berapa jauh dari Putrajaya, tidak di tempat lain termasuk di Kelantan sendiri atau lebih tepat lagi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor yang diwakilinya.

Kerana itu, apabila ada pemerhati politik meramalkan betapa kehadiran atau penyertaan Husam dalam Amanah bagai membawa sinar kepada parti baru itu khususnya di Kelantan, sekali gus bakal memberi cabaran besar kepada PAS, menimbulkan kesangsian kepada penulis.

Pertamanya, seperti yang disebutkan di awal tulisan ini, Husam membuat keputusan menyertai Amanah secara rasmi pada satu majlis makan malam di sebuah restoran di Cyberjaya yang khabarnya turut dihadiri sebahagian barisan pemimpin tertinggi parti itu.

Timbul persoalan, andai Husam benar-benar masih lagi mempunyai pengaruh dalam kalangan penyokongnya, sama seperti ketika beliau masih lagi menjadi anak emas PAS ketika era bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kenapa majlis itu tidak diadakan di kawasan pilihan rayanya sendiri atau setidak-tidaknya di negerinya sendiri.

Keduanya ialah mengenai tindakan Husam yang dikatakan menolak untuk diberikan jawatan penting dalam Amanah Kelantan yang menguatkan lagi kesangsian mengenai keupayaan beliau dalam usaha memecahkan dominasi penguasaan bekas partinya PAS yang sudah memerintah Kelantan hampir tiga dekad sejak Pilihan Raya Umum 1990 lagi.

Biarpun umum mengetahui betapa Husam ketika era pemerintahan Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar sehinggalah PRU ke-13 yang lalu adalah penasihat utama Allahyarham terutama berkaitan pembangunan ekonomi negeri, namun selepas Allahyarham tidak lagi menjadi ketua kerajaan negeri, pengaruh, masa depan dan bintang Husam sendiri sama ada dalam pentadbiran kerajaan negeri mahupun parti seolah-olah ikut sama merudum.

Selepas Allahyarham Nik Abdul Aziz digantikan oleh Datuk Ahmad Yaakub sebagai Menteri Besar Kelantan sebaik berakhirnya PRU ke-13, kedudukan Husam sebagai Exco kerajaan negeri turut terjejas apabila tidak lagi tersenarai sehinggalah kepada kemuncaknya apabila beliau dipecat daripada PAS atas alasan melanggar disiplin parti.

Maka, cubaan Amanah untuk melebarkan sayapnya ke Kelantan dengan menggunakan kekuatan dan pengaruh Husam dilihat tidak mudah untuk dilaksanakan memandangkan PAS sudah terlalu lama bertapak dan menguasai kerajaan negeri itu sejak 1990 lagi biarpun PAS termasuk di Kelantan sendiri dilihat sudah mula berpecah dan berpuak terutama selepas kematian Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Ketika ini, biarpun selepas ramai golongan profesional meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Amanah, namun hakikatnya PAS turut berpecah dan berpuak, cuma tidak lagi secara terang-terangan seperti sebelum ini apabila golongan profesional dalam parti itu secara terang-terangan menentang dasar parti yang dikuasai golongan ulama.

Ketika era Allahyarham Nik Abdul Aziz masih hidup dan mengetuai sayap paling berpengaruh dalam parti itu sebagai Mursyidul Am, beliau dilihat sebagai faktor penyatuan dalam PAS, namun selepas ketiadaannya, maka berlakulah seperti apa yang dapat dilihat hari ini apabila golongan profesional menubuhkan parti politik baru manakala yang terus kekal pula mulai berpecah dan berpuak walaupun tidak secara terang-terangan.

Dengan Amanah cuba memecahkan dominasi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang melalui strategi politik yang bakal digerakkan Husam dan pasukannya, mampukah PAS yang walaupun sudah memerintah Kelantan selama 26 tahun sejak 1990 untuk bertahan dengan kekuatannya yang kini dikatakan sudah terbahagi kepada sekurang-kurangnya dua kumpulan atau puak atau mampukah Barisan Nasional khususnya UMNO untuk kembali semula menerajui tampuk kerajaan negeri yang sudah agak lama terlepas itu?

Satu puak atau kumpulan dalam PAS dikatakan tidak menolak untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Barisan Nasional khususnya UMNO manakala satu lagi kumpulan dikatakan mahu parti itu terus kekal seperti sekarang selepas tidak lagi menganggotai Pakatan Rakyat kini dikenali Pakatan Harapan dianggotai PKR, DAP dan Amanah. Hanya masa akan menentukan dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.

Penulis Pengarang Politik Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 9:06 AM