TERTUDUH (dua kiri) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang ahli perniagaan warga China atas tuduhan memohon passport menggunakan kad pengenalan palsu, dua bulan lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Su Ming Bao, 51, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara setahun sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat cuba mendapatkan dokumen passport dengan mengemukakan sekeping kad pengenalan atas nama Kevin Su Ming yang butirannya adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukannya di kaunter 27, Bahagian Keselamatan dan Passport, Pejabat Imigresen Setia Tropika, pada jam 10.18 pagi, 20 Julai lalu.

Dia yang juga seorang pelabur didakwa mengikut Seksyen 12(1)(c) Akta Passport 1966 (Akta 150) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 6:01 PM