TERTUDUH (kiri) dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh dan mencederakan keluarga angkatnya, bulan lalu.

Tertuduh Luqman Hadi Mustapa, 28, mengangguk faham sebaik kelima-lima pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norina Maludin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke tiga, dia didakwa dengan niat membunuh Hassan A Wahab, 72; Mariah Baharin, 61; dan Muhammad Taufeq Hassan, 22.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan dengan niat membunuh ke atas Noor Hazlinda Hassan, 26, dan Nuraqedah Aeina Hassan, 24, kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di rumah di Kampung Bertam-Malim, di sini, antara 5.50 hingga 6.15 pagi, pada 25 Ogos lalu.

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lee Chee Thim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Oktober depan untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Berita berkaitan:

Tiga sekeluarga mati dikelar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 2:02 PM