BANGUNAN berkonsepkan Taman Inggeris.
PENGUNJUNG berpeluang melihat epal di Taman Buah.
ANTARA pokok unik dipamerkan.
WAN Mahfuzah menunjukkan bunga jade vine terdapat di TATMCH.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Kelibat beberapa lebah 'gebu' merangsang minat penulis meneroka Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands (TATMCH).

Jujurnya penulis agak terpegun melihat kelibat kawanan lebah itu apatah lagi wataknya sering disebut dalam siri Transformers.

Anda boleh melihat bumble bee keluar bekerja mencari madu pada debunga yang terdapat di persekitaran taman.

Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands menjanjikan pelbagai pengalaman menarik. Kehadiran penulis ke TATMCH, baru-baru ini, sempena Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Agropelancongan 2014 di Hotel Copthorne, Cameron Highlands.

Sesi pertama membabitkan temu bual khas bersama Pengurus MARDI Cameron Highlands Wahid Said bertajuk 'Taman Agroteknologi MARDI CH sebagai Taman Agro Penyelidikan dan Pembelajaran'.

Kedua adalah sesi temu bual bersama Pembantu Penyelidik Kanan MARDI Mohd Noor Bahauddin dalam program lawatan ke kilang teh dan demonstrasi membuat teh keluaran MARDI.

Dengan suhu persekitaran 21 darjah Celsius, pengembaraan penulis dipandu Pegawai Penyelidik Program Pengendalian Lepas Tuai Wan Mahfuzah Ibrahim dan Pegawai Pe­nyelidik Program Pengurusan Perosak dan Penyakit Hortikultur Nur Liyana Iskandar.

Berkedudukan di Cameron Highlands menjadikan Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands destinasi yang mesti dikunjungi.

Pengunjung dapat melihat pelbagai aktiviti pertanian seperti penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan beriklim sederhana menggunakan teknologi terkini.

Taman agroteknologi ini mempunyai taman mini untuk pengunjung.

Bagi penggemar periuk kera, Taman Nepenthes menjanjikan pengalaman cukup berharga, selain kehadiran ikan kap, keli dan kura-kura yang hidup di kolam takungi air gunung.

Melewati Taman 'Edible Garden', anda berpeluang melihat pokok jarang kelihatan, selain dikelilingi labu air, asparagus dan lobak putih.

Jika bernasib baik (Julai atau November), pengunjung dapat melihat epal yang terdapat di negara beriklim sejuk.

Antara enam spesies epal popular seperti 'Manalagi, Anna, Rome Beauty, Granny Smith, Spur Winter Banana dan Beanie's Choice'.

Berkonsepkan 'English Garden', taman berkeluasan 40 hektar itu dapat diakses dengan bayaran serendah RM3.

Terletak di Tanah Rata, Cameron Highlands, pusat pelancongan itu turut menawarkan harga RM40 untuk lawatan bas murid dan pelajar sekolah dan RM80 bagi kumpulan bas dewasa.

Wahid berkata, TATMCH yang mempunyai moto 'Penghubung Pengetahuan dan Komuniti' bukan saja terbuka kepada pelawat, tetapi aktiviti penyelidikan asas berkaitan pertanian.

Stesen itu, katanya, ditubuhkan British pada 1925 sebagai Stesen Penyelidikan Persekutuan.

"Pada 1926, ladang teh pertama dibangunkan sebelum didirikan kilang teh pertama pada 1935 dan diperbaharui pada 2011.

"Pada 1957, ia ditadbir Kementerian Pertanian melalui Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya.

Menurutnya pada 1971, bangunan berkenaan diserahkan kepada MARDI.

"MARDI Cameron Highlands ditubuhkan pada April 1994 dan berstatus Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands pada 14 Jun 2003," katanya.

Menurutnya, antara projek dibangunkan ialah Taman Inggeris, Taman Herba, Taman Orkid Liar, Taman Nepenthes (periuk kera), Taman Ros, Taman Bunga (50 jenis), Taman Edible, Taman Haiwan.

"Plot contoh juga disediakan kepada pengunjung termasuk teknik penanaman strawberi secara fertigasi, hidroponik dan bunga keratan kekwa.

"Turut disajikan adalah penanaman sayuran komersial seperti cili, tomato, salad dan kubis," katanya.

Dengan jumlah pelancong seramai 270,000 tahun lalu dan membawa pendapatan RM2.78 juta, taman itu dijangka menarik kedatangan 300,000 pelawat akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:02 AM