Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Wanita dikenakan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menawarkan perkhidmatan rawatan pergigian secara haram.

Tertuduh, Nurul Nadzirah Mohd Saidi, 21, turut berdepan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Rofiah Mohamad selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut subseksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang hanya berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan tidak memiliki kelulusan serta tauliah dalam bidang perubatan pergigian didakwa menjalankan amalan pergigian swasta dengan memberi rawatan pemasangan pendakap gigi kepada Puteri Nur Syahira Sharuddin, 19, tanpa pendaftaran sah oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menjadikan bilik di hotel Jalan Sultan Mahmud di sini, sebagai klinik pergigian swasta, pada 10.05 malam 27 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Malaysia, Nurul Khaikiyah Samsudin manakala tertuduh yang bakal berkahwin Oktober depan tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 12:53 PM