Oleh Norhadiani Baharom
yanie@mediaprima.com.my


Biar dikritik tiada pendirian, keputusan rocker legenda, Amy Search untuk meng­adakan semula 'rebattle' di antara dua protege pilihannya, Zulhilmi Muhamad Tahir (Zelmi), 24 dan Maishara Fazny Binti Mahadzir (Sarah), 19, pada konsert battle membabitkan kumpulan B minggu lalu, satu tindakan yang tepat apabila memilih Sarah selaku protegenya.

Pada Konsert Mentor Legend Episod 5, Sarah bukan saja membanggakan Amy menerusi dua persembahannya menyanyi lagu Chandelier dipopularkan oleh Sia untuk segmen pertama, manakala Fantasia Bulan Madu disampaikan secara duet bersama Amy di segmen kedua.

Bahkan Sarah diumumkan sebagai peserta yang memungut peratusan markah paling tinggi ia­itu 70% mendahului peserta popular, Fahmie (protege Ajai) yang memperoleh 66% dan Tuah (Mas Idayu) 63% pada Konsert Mentor Legend Episod 5 yang berlangsung Ahad lalu di Sri Pentas 2, Shah Alam.

"Sebelum ini saya tidak memilih Sarah bukan kerana dia tidak bagus. Sebenarnya memang agak payah untuk memilih salah seorang apabila kedua-duanya mempunyai keistimewaan masing-masing. Tambahan pula mereka adalah dua peserta terbaik yang dipilih ketika uji bakat.

"Jujur saya agak keliru ketika itu. Namun, selepas mengambil kira pelbagai faktor saya sedar Zelmi belum begitu bersedia untuk menghadapi tekanan di pentas. Sebaliknya Sarah walaupun masih muda, saya nampak usahanya mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal.

"Kerana itu, saya men­gembalikan kedua-duanya di konsert 'rebattle' kerana saya tidak mahu mempersiakan bakat peserta yang benar-benar menginginkan kejayaan di pertandingan ini.

"Alhamdulillah Sarah membanggakan saya malam ini dan dia kelihatan tenang walaupun persembahan pertamanya agak merisikokan. Di mana perlu menuruni tangga dengan kasut tumit tinggi tetapi masih mampu menguasai pentas dengan baik," katanya.

Sebelumnya, pada konsert battle membabitkan kumpulan A, Amy dalam keadaan berbagi hati memilih Zelmi dan terpaksa melepaskan Sarah yang jauh lebih baik berdasarkan teknik nyanyiannya berbanding peserta lelaki itu sehingga tindakan Amy itu mengundang pertikaian ramai pihak.

Sarah ketika ditanya bagaimana perasaannya apabila Amy mengubah fikiran untuk memilihnya, anak jati Kuala Lumpur ini me­ngakui sangat bersyukur.

"Sewaktu 'uncle' tidak memilih saya, memang tak dinafikan ada sedikit rasa kecewa. Namun, saya akur kerana sudah menjadi syarat program Mentor Legend, hanya seorang saja peserta diserapkan sebagai protege kepada setiap Mentor yang terbabit.

"Selang sehari selepas pengumuman itu dilakukan, saya dimaklumkan 'uncle' mahu melakukan konsert 'rebatlle' di antara saya dengan Zelmi. Saya tolak ketepi tujuan 'rebattle' itu, yang ada dalam fikiran saya adalah mahu lakukan terbaik.

"Kemudian 'uncle' membuat pengumuman memilih saya dan masa itu saya berasa sangat terharu dan bersyukur. "Dengan kepercayaan yang diberikan, saya bertekad untuk memberikan yang terbaik untuk menjaga reputasi mentor saya, juga buat keluarga dan mereka yang menyokong saya," katanya.

Mengimbas kembali persembahan Konsert Mentor Legend minggu ke-5 kendalian pengacara Awal Ashaari itu, selain Sarah, Fahmie dan Tuah turut memberikan persembahan cukup baik sehing­ga mempengaruhi komen diberikan kedua-dua juri tetap, Azmeer dan Adlin Aman Ramlie.

Azmeer ketika memberikan ulasannya terhadap persembahan Fahmie, berkata, nyanyian pemuda itu menerusi lagu Relakan Jiwa dipopularkan Hazama di segmen pertama, bersih dan sempurna.

Manakala segmen kedua, biarpun ada kesilapan kecil pada 'pitching' ketika menyanyikan lagu Cintakan Membawamu (Ari Lasso) duet bersama Ajai, secara keseluruhan Fahmie seorang penyanyi yang 'superb'.

"Saya sudah mengadili beratus-ratus pertandingan nyanyian dan harus saya akui Mentor musim ini adalah paling sukar untuk diadili. Semua peserta sangat bagus dan tersendiri," kata­nya.

Sementara Adlin pula menyifatkan Tuah yang memukau penonton di segmen pertama menerusi lagu Raikan Cinta (Datuk M Nasir) diikuti paduan suara bersama mentornya, Mas Idayu menyanyikan lagu Suatu Masa & Gelombang di segmen kedua, seorang penyanyi yang mudah dilentur.

"Tuah, awak seorang yang mudah dilentur dan punya banyak tarikan dalam persembahan awak di mana kualiti ini sangat penting untuk menjadi seorang penghibur.

"Mentor awak, Mas Idayu sangat bijak. Kalau dipersembahan tadi, dia cuba tonjolkan versatiliti yang ada dalam diri awak, di segmen kedua pula Mas Idayu memilih lagu yang boleh serlahkan vokal awak," kata Adlin menyifatkan konsep 'songs overlap' yang dilakukan di segmen kedua, cukup menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:00 AM