BALE (tengah) berlatih bersama rakan sepasukan bagi aksi menentang Moldova, awal pagi esok.
AFP

Cardiff, Wales: Gareth Bale mengambil langkah pertama untuk kelayakan Piala Dunia bersama Wales menentang Moldova awal pagi esok dan pengurusnya Chris Coleman percaya prestasinya akan semakin baik.

Bale, 27, yang menjaringkan tiga gol ketika Wales mencipta sensasi mara ke separuh akhir Euro 2016 sekali gus menyamai pencapaian terbaik pasukan Britain dalam kejohanan antarabangsa.

Cabaran menantinya adalah memperbaiki momentum untuk membawa Wales ke Piala Dunia 2018 di Russia dan Coleman berkata, bintang Real Madrid itu tidak sabar mencipta lebih banyak sejarah.

“Gareth menjaringkan gol dalam tempoh 75 saat pada perlawanan pertama Real musim ini (menentang Real Sociedad), namun saya tidak pernah terkejut dengan apa yang dilakukannya,” kata Coleman menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan D di Stadium Cardiff City.

“Saya tahu dia mampu mencapai apa saja dan saya fikir Madrid teruja dengan masa depan mereka bersama Bale.

“Mereka menyedari memiliki seseorang yang akan kekal di sana buat beberapa lama dan mampu memenangi segala-galanya.

“Dia semakin baik. Selain kemahiran menakjubkan, dia mempunyai mentaliti kelas pertama.

“Inilah formula kemenangan buat Real Madrid dan Wales, malah saya fikir dia akan menempuhi satu lagi musim yang hebat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:58 PM