CALON UPSR bersama Azhar (berdiri tengah) beramai-ramai membaca doa sebelum memasuki dewan peperiksaan di sekolah itu, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Othman
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Bacaan doa beramai-ramai dan kata-kata semangat terakhir daripada guru mengiringi langkah 53 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memasuki dewan peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Ewa (SKE) di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati, murid tahun enam terbabit yang terdiri daripada 32 lelaki dan 21 perempuan dikumpulkan dalam dewan sebelum beramai-ramai membaca doa dan mendengar pesanan terakhir guru bertugas.

Guru Besar SKE, Azhar Ahmad berkata, selain doa dan kata-kata semangat daripada guru, sekumpulan ibu bapa juga turut membaca Yasin di bilik khas sepanjang murid terbabit menjawab peperiksaan.

"Program begini menjadi kelaziman dilakukan waris murid sekolah ini pada setiap kali UPSR berlangsung dan ia dirancang oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan kerjasama Majlis Guru SKE.

"Doa guru, kata-kata semangat dan kehadiran ibu bapa membaca Yasin di sekolah boleh memberi semangat dan keyakinan kepada calon UPSR yang melangkah masuk ke dewan peperiksaan," katanya.

Azhar berkata, semua calon UPSR sekolah itu menduduki dua kertas peperiksaan hari ini iaitu Bahasa Melayu Pemahaman yang bermula pada jam 8.15 pagi dan Bahasa Melayu Penulisan pada jam 10.45 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 10:52 AM