ANGGOTA SPRM mengiringi Ezli Efifuddin (dua kanan) dan Mohd Amzar selepas didapati bersalaholeh Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM35,000 selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pindaan menerima suapan tiga tahun lalu oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kedua-dua tertuduh Ezli Efifuddin Chik, 30, dan Mohd Amzar Hashimi, 30, turut berdepan hukuman setahun bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Ezli Efifuddin yang juga anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan rakannya Mohd Amzar selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan pindaan apabila pihak Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bagi kesalahan pertama dan kedua kes rasuah, mereka dihukum penjara lima tahun dengan denda RM15,000 dan RM10,000 serta dipenjara setahun jika gagal bayar denda.

Manakala bagi kesalahan ketiga kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000 serta dipenjara setahun jika gagal bayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Bagi pertuduhan pindaan pertama mereka yang menyamar sebagai anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 Jun 2013, kira-kira 9 malam di Restoran Lazeez, 135 Kompleks Kelana Mas, Kuah, Langkawi dengan meminta suapan wang tunai RM3,000 daripada Mohammed Sharif Abdul Aziz Bhagad sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.

Pertuduhan pindaan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itupada 23 Jun 2013 jam lebih kurang 9.10 malam di restoran sama dengan menerima suapan wang tunai RM1,200 daripada Syed Fakhraymoin Chisty sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif kerana ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.

Pertuduhan pindaan ketiga, mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Julai 2013 jam lebih kurang 2.40 petang di Lot 91, 92 dan 93 Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan dan Pelancongan Kelana Mas, Kuah, Langkawi menerima suapan wang tunai RM1,800 daripada Mohammed Sharifsebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rasmadi Abdul Rashi dan Sharif Matt.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 7:54 PM