POLIS sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Tujuh penjenayah bertopeng disyaki warga asing pecah dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga peti wang tunai membabitkan kerugian RM1.14 juta di pasar raya di Kuala Nerus, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku 2.15 pagi tadi ketika empat pengawal keselamatan sedang bertugas sebelum seorang daripadanya menyedari kehadiran kumpulan penjenayah ketika membuat rondaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, empat pengawal keselamatan diikat sebelum diletakkan dalam stor berhampiran.

Beliau berkata, lima daripada penjenayah masuk ke dalam pasar raya dan memecahkan dua mesin ATM menggunakan gas Ocy-Acetylere dan tiga peti tunai menggunakan mesin pemotong besi.

"Ketika kejadian, suspek dipercayai bersenjatakan parang dan pistol yang terselit pada pinggang seorang suspek.

"Suspek beredar meninggalkan lokasi kejadian pada 6.30 pagi dengan melarikan wang tunai dianggarkan bernilai RM1.14 juta.

"Semua suspek dipercayai menggunakan tukul besi, kuku kambing, mesin pemotong besi dan gas Ocy-Acetylere untuk melakukan rompakan berkenaan," katanya.

Wan Abd Aziz berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 12:03 PM