Dr Mohammad Omar. FOTO Rozainah Zakaria
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Wanita berusia 34 tahun menjadi mangsa ke-15 meninggal dunia akibat denggi di Terengganu sepanjang tahun ini.

Mangsa dari Kampung Seberang Kastam, Besut meninggal dunia kira-kira 2 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, mangsa adalah seorang peniaga dan mengalami simptom demam serta muntah selama empat hari.

Menurutnya, mangsa dimasukkan ke wad di Hospital Besut pada 31 Ogos lalu sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ pada 11 malam kelmarin.

Katanya, mangsa meninggal dunia selepas mengalami kejutan disebabkan kerosakan organ dalaman kerana lewat mendapatkan rawatan.

"Sebanyak 15 kes kematian dicatatkan di negeri ini sejak awal tahun ini berbanding hanya tiga kes bagi tempoh sama tahun lalu," katanya selepas Pelancaran Program Gegar 10,000 Langkah dan Kayuhan Merdeka Peringkat Megeri di Taman Awam Batu Buruk di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 4:21 PM