KASUT dipamerkan di sebuah kedai di kawasan barangan berjenama di United Kingdom.
KEADAAN kilang selalunya sesak dan tidak lengkap.
PEMANDANGAN biasa kilang di Bulgaria.
ADA pekerja mendakwa perlu menyiapkan 60 kasut sehari.
KIRA-kira 24 bilion kasut dihasilkan setiap tahun.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Aktivis mendakwa jutaan pembeli di seluruh dunia diperdaya kerana mempercayai kasut mahal yang mereka beli di kedai berjenama terkenal dihasilkan di Jerman dan Itali.

Hakikatnya, kasut berharga ratusan hingga ribuan ringgit bagi setiap pasang itu dihasilkan oleh pekerja dengan gaji amat rendah di kilang yang memeras tenaga pekerjanya di Eropah Timur.

Kilang sedemikian atau ‘sweatshop’ melambangkan penindasan yang diamalkan di tempat kerja tidak dilengkapi keperluan yang boleh diterima secara sosial.

Kebiasaannya kerja yang dilakukan di kilang seumpama itu membabitkan tugasan sukar, berbahaya serta pekerja dibayar gaji yang amat rendah, biarpun mereka dikerah untuk bekerja dalam tempoh masa yang panjang.

Skandal membabitkan kasut mahal berjenama itu didedahkan dalam satu penyiasatan berkaitan industri kasut Eropah, yang turut menyenaraikan pemberian gaji tidak menepati syarat dan keadaan bekerja yang mengejutkan bagi kasut yang dihasilkan untuk pasaran United Kingdom.

Penyiasatan turut mendedahkan jenama besar mengambil kesempatan terhadap kekurangan dalam undang-undang untuk meletakkan tanda ‘Made In Italy’ atau ‘Made In Germany’, dengan niat memasarkannya sebagai kasut berkualiti tinggi sedangkan kasut terbabit sebenarnya menggunakan tenaga pekerja dari kawasan daif Eropah Timur. Ini termasuk di Albania yang hanya menerima sedikit wang sekali gus melanggar hak pekerja, biarpun perlu bekerja lebih masa bagi menyiapkan kasut.

Diangkut guna kereta sorong ke hospital

Pekerja di Macedonia pula diangkut menggunakan kereta sorong ke hospital apabila mereka pengsan akibat keadaan sejuk melampau di kilang tempat mereka bekerja selain terpaksa menghidu bahan kimia kuat ketika menyiapkan kasut.

“Jika majikan mahu tugasan disiapkan, katakan terdapat tempahan 9,000 pasang kasut, ia akan letak 90 pasang untuk setiap pekerja dan jika anda sakit atau akan mati, anda perlu menyiapkannya juga,” kata seorang pekerja ketika laporan siasatan disiapkan.

Pengeluar mampu mengambil kesempatan terhadap undang-undang Eropah yang mempunyai kekurangan ini dikenali sebagai skim proses perdagangan luaran (OPT).

Mengikut OPT, syarikat boleh menghantar bahagian kasut ke negara ekonomi rendah untuk dicantum dan dijahit sebelum dihantar semula ke negara pengeluar tanpa dikenakan sebarang cukai. Kasut yang sudah disiapkan kemudian boleh dilabel diperbuat di negara asalnya.

Laporan itu yang dikumpul oleh beberapa kumpulan hak Eropah dihasilkan selepas menjalankan temu ramah dengan 179 pekerja dari 12 kilang.

Ia turut membidas OPT sebagai ‘skim jalan mati untuk pekerja, ekonomi negara dan perniagaan’ serta menggambarkannya sebagai ‘laluan kemusnahan ekonomi dan sosial’.

Laporan itu merungkai keadaan pekerja di enam negara Eropah berpendapatan rendah iaitu Albania, Bosnia-Herzegovina, Macedonia, Poland, Romania dan Slovakia.

Siapkan 60 pasang kasut sehari

Seorang daripada tiga pekerja di Albania dibayar kurang daripada RM551 sebulan termasuk kerja lebih masa dan bonus, iaitu di bawah paras gaji mengikut undang-undang.

Pekerja wanita berhadapan dengan keadaan lebih teruk dan mereka perlu menyiapkan kira-kira 60 pasang kasut sehari.

Pekerja wanita di Romania berkata, suami mereka terpaksa mencari pekerjaan bermusim dengan bayaran rendah di bahagian barat negara itu supaya mereka mampu membeli kayu api untuk dibakar bagi memanaskan tubuh ketika musim sejuk.

Seorang pekerja lelaki ketika disoal berkata, dia dan isterinya sama-sama bekerja di kilang itu dan gembira dapat bekerja tetapi tidak dapat membayangkan membesarkan anak dengan gaji dari kilang berkenaan.

“Ibu bapa dan saudara-mara kami tidak dapat membela kami, jadi kami terpaksa bergantung dengan gaji kecil dengan bekerja di kilang ini.

“Kami mahu berpindah dari kampung ke bandar untuk mencari peluang hidup yang lebih baik, tetapi tidak mampu membayar sewa rumah di bandar dengan gaji yang kami terima,” katanya.

Seorang lagi pekerja dikenali sebagai Krisztina, berkata keluarganya terpaksa membela haiwan ternakan sebagai sumber makanan.

“Kami memiliki kebun dan beberapa haiwan. Jika mahu membeli daging atau ayam dari kedai, saya tidak akan mampu membelinya.

“Oleh itu, selain bekerja di kilang, kami juga perlu menjaga haiwan ternakan kami setiap hari kerana ia satu-satunya sumber makanan yang kami mampu,” katanya.

Kira-kira 24 bilion pasang kasut dihasilkan di seluruh dunia setiap tahun, termasuk 729 juta daripadanya dihasilkan di Eropah.

Bagaimanapun, harga kasut untuk Eropah lebih mahal apabila purata sepasang kasut Itali yang dieksport dijual pada harga RM177, sedangkan sepasang kasut biasa dari China hanya berharga RM13.

Kulit terdedah bahan kimia

Di kilang Macedonia yang menghasilkan kasut bagi beberapa jenama terkenal, pekerja mengadu mereka terpaksa bekerja menggunakan bahan kimia yang kuat dan turut mengalami masalah seperti penyakit sendi, sakit belakang, alahan dan masalah pernafasan.

Mereka turut mendakwa kulit sering terdedah kepada bahan kimia berbahaya kerana sekiranya mereka memakai sarung tangan, produktiviti akan menurun, seterusnya menyebabkan bayaran yang mereka terima menjadi lebih rendah.

Pada masa sama, ramai pekerja yang mengadu keadaan kilang yang bahang ketika musim panas dan terlalu dingin ketika musim sejuk.

“Tangan saya beku, saya menggigil dan pintu kilang sentiasa terbuka. Sekiranya saya sakit, saya dibawa ke hospital menggunakan kereta sorong,” kata seorang pekerja.

Seorang lagi pekerja di Slovakia berkata, ketika musim panas, keadaan dalam kilang terlalu bahang sehingga ambulans datang beberapa kali kerana ramai pekerja diserang strok haba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:02 AM