Surat dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Filem Pekak terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Lightbulb Pictures yang mula ditayangkan seluruh negara semalam menerima tamparan awal apabila tayangannya di Brunei Darussalam tidak diluluskan.

Dalam surat yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei pada 23 Ogos lalu, tayangan filem arahan Khairul Azri Mohd Noor atau Kroll Azry ini di negara itu tidak diluluskan kerana dikatakan tidak mengandungi unsur pendidikan.

Ia juga dikatakan boleh memberi pengaruh tidak baik kerana memaparkan adegan menghisap dadah, penjualan dadah, pergaulan bebas, keganasan dan wanita menghisap rokok.

Pengurus Besar Inovasi dan Pengedaran Primeworks Distribution, Marini Ramlan berkata, walaupun kecewa, pihaknya akur dengan keputusan kerajaan negara itu.

“Ia sungguh mengecewakan kerana Pekak berpotensi dan diterima di negara lain tetapi tidak di negara jiran.

"Kami terpanggil untuk memberi kenyataan berikutan ada peminat dari negara itu yang bertanyakan mengapa filem Pekak yang sepatutnya ditayangkan semalam tidak ada di pawagam negara mereka," katanya kepada Harian Metro.

Marini berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan filem Pekak dapat ditayangkan di sana. Jika tidak ia mungkin boleh menjejaskan kutipan tiket.

“Mereka tidak membenarkan filem ini ditayangkan di sana, tetapi kami berharap mungkin ada cara lain atau saluran lain seperti IPTV atau digital yang dapat membantu untuk penonton di sana menyaksikan filem ini.

"Kami sedar unsur-unsur yang ditampilkan dalam filem ini tidak menepati peraturan negara mereka, tetapi itulah realiti kehidupan yang cuba kami tonjolkan di dalam filem ini," katanya.

Filem lakonan Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Joe Flizzow, Amerul Affendi dan Iedil Putra ini baru saja memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Zahiril dan Skrip Terbaik (Khairul Azri) di International Motivational Film Festival - Bridge of Arts 2016 (IMFF) di Rostov-on-Don, Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:09 PM