Presiden Mobile Buissness Samsung, Koh Dong-Jin (kiri) dan gambar di media sosial menunjukkan Note 7 hangus dengan skrin sentuh 5.7 inci terbakar dan cair.
AFP

Seoul: Samsung hari ini, menggantung jualan model terbaru telefon pintarnya, Galaxy Note 7, berikutan bateri telefon berkenaan meletup.

Presiden Mobile Buissness Samsung Electronics, Koh Dong-Jin, berkata pihaknya telefon bimbit terkemuka dunia itu menyatakan ia menawarkan telefon baru model berkenaan kepada mereka yang sudah membeli Note 7 sejak ia dilancarkan pada 19 Ogos lalu.

"Kami sudah menerima beberapa laporan bateri Galaxy Note 7 meletup. Kejadian itu juga sudah disahkan berpunca akibat masalah bateri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, sejak dilancarkan, lebih sejuta unit Note 7 sudah dijual di seluruh dunia dan Samsung mengesahkan menerima 24 laporan kejadian bateri telefon berkenaan bermasalah.

Sejak bulan lalu, pengguna menyiarkan gambar dan video di media sosial menunjukkan Note 7 yang hangus dengan skrin sentuh 5.7 inci ada kesan terbakar dan cair.

Masalah bateri itu menyebabkan Samsung terpaksa menangguhkan penghantaran Note 7 ke Eropah, termasuk Perancis serta menjejaskan jualan dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 5:54 PM