Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Bekas pengarah perolehan bank tempatan dan dua pengarah syarikat penerbitan dibebaskan daripada siasatan berhubung kes rasuah berkaitan penerbitan biografi seorang pemimpin negara, hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membebaskan tiga individu berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, pagi tadi selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan ke atas mereka.

Selasa lalu, mereka dibebaskan bersama Pengarah Urusan bank bergelar Datuk namun, ditahan reman semula pada petang hari yang sama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) akta pengubahan Wang haram, Pencegahan pembiayaan keganasan Dan hasil daripada aktiviti haram 2001 (AMLA).

Sebelum ini, tiga individu berkenaan ditahan reman sejak 26 Ogos lalu bagi membantu siasatan berkaitan rasuah penerbitan buku biografi bernilai RM15 juta.

Selain itu, pengerusi bank tempatan bergelar Tan Sri turut ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 2:57 PM
BEKAS pengarah perolehan bank tempatan dan dua pengarah syarikat penerbitan dibebaskan daripada siasatan berhubung kes rasuah. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor