ADUN Kupang Datuk Harun Abdul Aziz (dua kanan) melawat mangsa ribut bersama Penghulu Mukim Pulai, Badrul Hisham Che Li (dua kiri). FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com


Baling: Dua belas keluarga membabitkan lebih 60 penduduk di Mukim Pulai, di sini bertempiaran menyelamatkan diri apabila rumah mereka dilanda ribut dan hujan lebat, 6.30 petang semalam.

Dalam kejadian itu, lapan rumah di Kampung Sungai Limau dan empat lagi di Kampung Sirako rosak akibat bumbung diterbangkan angin selain perkakas rumah rosak ditimpa hujan.

Penghulu Mukim Pulai, Badrul Hisham Che Li berkata, bagaimanapun kejadian tidak membabitkan kehilangan jiwa atau kecederaan kepada mangsa.

Beliau berkata, semua mangsa membuat laporan polis bagi memudahkan permohonan bantuan segera baik pulih rumah yang rosak.

"Sebaik dimaklumkan kejadian, saya segera ke kawasan bencana dan melihat rumah yang dilanda ribut dan ada antaranya ditimpa pokok getah.

"Kita mendapat laporan lengkap semua mangsa yang terbabit bagi memudahkan peruntukkan membaiki rumah disalurkan segera kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 1:21 PM