PENJAGA gol New Zealand Ben Smith (kanan) diasak pemain negara.
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Johor Bahru

Hasrat skuad hoki remaja negara untuk memungut tiga mata penuh tidak kesampaian apabila seri 1-1 ketika bertemu New Zealand pada perlawanan kedua Piala Sultan Johor, semalam.

Peluang terbaik Malaysia bermula seawal minit ketujuh, tetapi tolakan Norsyafiq Sumantri dalam kawasan D terkena tiang gol.

Skuad negara terus memberi tekanan dan tiga minit kemudian membuahkan hasil apabila dihadiahkan dua pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhd Najmi Farizal Jazlan.

Skuad negara berpeluang menambah gol kedua selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti ketiga, pada minit ke-18, tetapi disia-siakan.

New Zealand cuba mencari gol penyamaan pada minit ke-25 selepas meraih dua pukulan sudut penalti, tetapi penjaga gol negara, Muhammad Ridwan Azmi menafikan kedua-dua cubaan itu.

Bersambung babak kedua, skuad negara bermula garang apabila hampir di depan pada minit ke-43, tetapi tolakan Norsyafiq dinafikan penjaga gol lawan, Ben Smith.

Ketika Malaysia terus berusaha melebarkan jurang jaringan gol, skuad negara dihukum apabila Ben Radovonich menyamakan kedudukan untuk New Zealand hasil jaringan padang minit ke-46.

Anak buah Arul berpeluang untuk kembali di depan apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-55, tetapi kali ini tolakan Muhd Najmi tidak menjadi.

Skuad negara bakal berdepan tugas sukar apabila bertemu Britain pada perlawanan ketiga, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:05 AM