CHE Sazali (kanan) menyuap pulut kuning kepada seorang daripada 176 calon UPSR sambil diperhatikan Anuar (dua kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Seramai 176 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan, di sini diraikan dalam Majlis Restu Ilmu, pagi tadi.

Dalam majlis itu, semua murid tahun enam berkenaan disuapkan pulut kuning oleh guru dan ibu bapa masing-masing sebagai memberi semangat untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan itu.

Guru Besar SK Mentuan, Che Sazali Che Ibrahim berkata, majlis berkenaan sebahagian cara pihaknya untuk meraikan calon UPSR sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan, Isnin ini.

"Ia untuk beri keyakinan kepada mereka supaya dapat menjawab peperiksaan nanti dengan sebaik yang mungkin.

"Tahun ini juga cabaran buat murid apabila mereka perlu mengambil mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Inggeris Penulisan yang menjadikan keseluruhan, enam subjek.

"Saya berharap mereka dapat kekal fokus selepas semua persediaan dilakukan dan kami menyasarkan 40 calon memperoleh 6A," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Majlis Restu Ilmu UPSR itu dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Anuar Safian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 3:41 PM