Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon

Saya belajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi dan dikelilingi suasana kampus cukup damai. Situasi kampus juga agak terhindar daripada masalah sosial kerana kami lebih menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Namun di sebalik itu, ada juga yang bermasalah.

Masalah saya ialah seorang kawan di universiti yang suka berkongsi ceritanya kepada saya. Dia suka bercerita mengenai kekasihnya. Pernah sekali dia cerita, mereka keluar bersama-sama dan lelaki itu memimpin tangannya. Pada awalnya terkejut juga saya apatah lagi dia seperti tidak ada rasa bersalah dengan keadaan itu.

Mereka semakin kerap keluar bersama dengan alasan hendak mengulangkaji pelajaran.

Apa yang tambah merunsingkan ialah lelaki itu semakin berani menyentuhnya. Seperti mana yang kawan perempuan saya ceritakan, lelaki itu mencuit dagu dan pipinya. Saya tidak tahu bagaimana hendak menasihati. Saya rasa diri saya turut menanggung dosa kerana tidak mencegah tapi saya tidak berdaya.

Saya sedih dengan keadaan ini kerana saya tidak mampu cegah kemungkaran yang ada. Apatah lagi kedua-duanya kawan saya. Saya cukup risau memikirkan hal ini, bantulah saya.

MOHON PETUNJUK

Kuala Lumpur.

Cinta itu fitrah insani dan cinta adalah anugerah yang tidak ternilai diberikan Allah kepada setiap hamba-Nya. Menjadi seorang pelajar di dalam suasana pembelajaran begitu membantu adik dalam mengenal apa yang betul dan salah. Berdepan dengan kawan adik yang bergaul di luar batasan pelajar Islam adalah sesuatu yang merunsingkan.

Nasihat Dr, berusaha untuk memberikan nasihat kepada kawan adik walaupun sebagai kawan rapat, adik takut kawan berasa hati dan meninggalkan adik. Tetapi, percayalah, ini adalah ujian kepada adik yang Allah berikan.

Setiap orang dilahirkan dengan latar belakang berbeza, mungkin kawan adik tidak mendapat pendidikan agama yang sempurna sebelum ini dan merasakan apa yang dilakukan tidak salah. Jadi, adik sebagai kawan berkongsi cerita, gunakan cara terbaik untuk menasihatinya.

Carilah cara yang paling berhikmah supaya persahabatan kalian tidak renggang. Remaja yang sedang bercinta memang susah untuk merasakan apa yang mereka lakukan itu adalah salah, adik cubalah memberi contoh-contoh bahan bacaan cinta Islami yang betul kepadanya.

Semoga kawan adik terus terbuka hatinya. Kerana bercinta itu tidak menjadi satu kesalahan, tetapi salah dalam tatacara bercinta, lupa Tuhan itu akan menjadi bercinta itu dipandang salah. Semoga adik kuat dan membantu kawan adik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:10 AM