PEMAIN pertahanan Getafe berjaya menghalang percubaan Messi (kanan).

Madrid: Impian Barcelona memburu kejuaraan La Liga terjejas apabila mereka ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Real Madrid selepas dipaksa seri tanpa jaringan dengan Getafe, awal pagi semalam.

Pada babak pertama yang hambar di Coliseum Alfonso Perez, Barca pasti terhutang budi kepada penjaga gol Claudio Bravo yang menghalang gawang pasukannya daripada dibolosi terutama selepas aksi hebat menyelamatkan percubaan berbahaya Angel Lafita.

Barca meningkat selepas rehat dan mengasak kubu lawan, namun masih gagal mencari jalan melepasi keutuhan penjaga gol Vicente Guaita dengan Lionel Messi merembat ke palang selain pertahanan Getafe yang mantap.

“Keputusan seri ini bukannya keputusan hebat, tapi pasukan ini hadir dengan dinamik dan kami harus meneruskannya. Masih terlalu jauh kempen liga untuk ditamatkan, tapi kami akui keputusan ini agak menjejaskan,” jelas kapten Barcelona Xavi Hernandez.

“Ia perlawanan yang biasanya kami boleh menang, tapi kami gagal memecah kebuntuan. Pertahanan mereka begitu mantap, kami mempunyai empat peluang dan gagal menyempurnakannya.”

Barcelona terdesak tanpa kehadiran penyerang Neymar yang diketepikan kerana kecederaan buku lali dan nyata kurang mengancam apabila berada di depan kubu lawan.

Kelab Catalunya itu menyaksikan beberapa percubaan Luis Suarez dan Ivan Rakitic jauh melencong, sebelum Messi memaksa Guaita bertindak hebat menghalangnya selepas berganding baik dengan pemain kebangsaan Croatia itu.

Sementara itu, Valencia yang beraksi dengan 10 pemain hanya dipisahkan satu mata dengan pasukan tangga keempat apabila menang selesa 3-0 ke atas Rayo Vallecano.

Los Che bermain baik pada babak pertama dan mendahului selepas 12 minit apabila Sofiane Feghouli menanduk masuk gol sulung.

Pemain Algeria itu kemudian menambah gol kedua dari jarak dekat sebelum Pablo Piatti menghasilkan larian pantas untuk memecah benteng lawan dan menambah gol ketiga 10 minit sebelum rehat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:08 AM