ANTARA individu yang ditahan malam tadi. FOTO ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Polis menahan 72 individu termasuk sembilan yang masih di bawah umur disyaki terbabit penyalahgunaan dadah dalam serbuan sebuah parti tertutup di sebuah apartmen di Taman Nusa Bestari di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan antara jam 2 pagi hingga 4 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta JSJN (Narkotik) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menggagalkan majlis tertutup itu yang dipercayai baru sahaja hendak dimulakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, seramai 51 lelaki dan 21 wanita ditahan yang semuanya berusia antara 14 hingga 26 tahun.

Beliau berkata, sembilan individu yang didapati berusia bawah 18 tahun terdiri daripada lima remaja perempuan yang masih bersekolah dan empat lelaki yang masih menuntut.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati seramai 35 lelaki termasuk empat yang di bawah umur positif pelbagai jenis dadah.

"Seramai 10 wanita termasuk empat yang di bawah umur turut didapati positif pelbagai jenis dadah," katanya.

"Menurut beliau, siasatan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Pada masa sama, kejayaan dilakukan IPD Iskandar Puteri itu turut dikongsi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun twitternya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 1:47 PM