ANTARA ibu bapa atlet taekwondo yang berkumpul bagi meminta kerajaan negeri menyelesaikan kemelut membabitkan PTNT dan MSNT.
Ahmad Rabiul Zulkifli
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Arena sukan Terengganu kembali panas apabila 150 ibu bapa atlet taekwondo negeri tidak berpuas hati dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang mengetepikan Persatuan Taekwondo Negeri Terengganu (PTNT) ketika proses pemilihan atlet ke Sukan Malaysia (SUKMA) sejak 2013.

Kemelut antara MSNT dengan PTNT itu menyebabkan kira-kira 5,000 ahli persatuan termasuk 150 atlet yang berkebolehan dinafikan hak mereka untuk mewakili negeri itu di SUKMA.

MSNT didakwa lebih gemar menggunakan khidmat atlet taekwondo negeri lain untuk mewakili Terengganu berbanding anak tempatan yang turut berpotensi besar dalam acara itu.

Berikutan itu, ibu bapa atlet taekwondo Terengganu berharap Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman dapat campur tangan bagi menyelesaikan kemelut dengan MSNT yang didakwa tidak telus dalam menangani isu berkenaan.

Bapa seorang atlet, Wan Sazali Wan Sayed, 35, dari Kampung Banggol Tok Jiring mendakwa beliau terkilan dengan tindakan MSNT yang mengetepikan atlet negeri sendiri.

“Sebagai ibu bapa, kami membenarkan anak terbabit dalam taekwondo sejak kecil dengan harapan mereka dapat mengharumkan nama negeri sekiranya terpilih.

“Harapan kami musnah apabila hak anak kami untuk mewakili negeri ke SUKMA dinafikan kerana ada pihak lain yang dilantik dan bertindak membuat pemilihan, bukannya PTNT.

“Jika mengikut prosedur dijalankan di semua negeri lain, hanya badan induk sukan itu yang layak mengadili dan membuat pemilihan atlet kerana lebih arif berkaitan prestasi setiap atlet,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Harish Abd Rahman, 40, dari Kampung Paloh pula berkata, beliau berharap kerajaan negeri dapat menyelesaikan permasalahan itu bagi menjamin hala tuju anak tempatan yang terbabit dengan sukan berkenaan.

“Apa gunanya kami berbelanja besar untuk membiayai anak menyertai kelas dan latihan taekwondo tapi akhirnya diketepikan daripada mewakili negeri.

“Atlet yang bernaung di bawah PTNT mempunyai bakat besar, buktinya apabila seorang daripadanya, Ahmad Fahmy Al Haq Harun, 20, terpaksa mewakili Perlis dan berjaya meraih perak di SUKMA Sarawak baru-baru ini,” katanya.

Sadrasagar Arumugam, 54, dari Ladang pula berkata, semua ibu bapa terkilan dengan pengurusan MSNT kerana tidak mendahulukan atlet anak negeri yang selama ini terbukti berbakat dan mengharumkan nama negeri di pelbagai kejohanan taekwondo yang dianjurkan.

“PTNT melahirkan ramai atlet berbakat di bawah enam kelab taekwondo yang berdaftar tapi akhirnya mereka terpaksa mewakili pasukan lain kerana di pinggir negeri sendiri.

“Paling menyedihkan apabila insentif kemenangan pasukan taekwondo SUKMA Melaka pada 2012 sebanyak RM57,000 sumbangan kerajaan negeri atas nama PTNT tidak pernah diterima persatuan dan juga atlet yang berjaya menyumbang enam emas ketika temasya itu,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap pihak kerajaan negeri dapat menyelesaikan kemelut itu secara telus seterusnya memberi kebaikan kepada sukan taekwondo di Terengganu pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 8:22 AM