BERNAMA

Johor Bahru: Kerajaan Johor mempertingkat kawalan di enam pintu masuk di bandar raya ini sebagai langkah berjaga-jaga menangani penularan virus zika.

Enam pintu masuk itu adalah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks KIK Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Pelabuhan Johor di Pasir Gudang, Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah, Terminal Feri Puteri Harbour di Iskandar Puteri dan Terminal Feri Stulang Laut.

Menurut Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, saringan kesihatan menggunakan alat pengimbas haba terhadap pelawat atau rakyat Malaysia yang datang dari Singapura, akan dilakukan bagi memastikan tidak berlaku peningkatan suhu badan melepasi 37 darjah selsius.

"Saringan dilakukan 24 jam menerusi tiga syif penugasan membabitkan doktor, petugas Jabatan Kesihatan Johor dan Johor Bahru dibantu pegawai Imigresen," katanya di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 8:24 PM