FATIN layak ke final acara compound wanita.

Palembang: Puteri memanah negara mula mempamerkan bisa di Lapangan Panahan Jakabaring apabila tiga daripadanya layak ke final acara recurve dan compound wanita temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2014 Palembang, semalam.

Azuanis Abdullah akan melayan wakil tuan rumah pada final kategori recurve manakala Saritha Cham Nong dijadual bersaing dengan rakan senegara, Fatin Nurfatehah dalam kategori compound wanita.

Seorang lagi atlet negara, Norhayati Al-Madihah bertemu pemanah tuan rumah bagi penentuan pingat gangsa dalam acara compound wanita.

Final acara recurve dan compound wanita dilangsungkan Khamis ini.

“Saya tidak mahu memikirkan soal lain. Yang penting emas sudah pasti dalam genggaman Malaysia.

“Saya yakin Fatin juga begitu. Antara kami tidak ada apa-apa untuk diselesaikan. Kami sama-sama memburu emas untuk kontinjen negara. Sesiapapun yang menang bukan persoalan kerana yang penting ialah emas ini untuk Malaysia,” kata Saritha, 26.

Menyentuh mengenai pertemuannya dengan Fatin sebelum ini, Saritha berkata, ini kali kedua dia bertemu dengan rakannya itu dalam aksi penentuan pingat.

“Kali pertama saya menentangnya ketika Sukan SEA Myanmar dan saya berjaya mengatasinya untuk memenangi gangsa. Final ini kali kedua kami bersaing, tapi saya tidak mahu memikirkan soal rekod antara kami.

“Ini bukan masanya untuk rekod peribadi. Satu emas sudah pasti untuk Malaysia dan saya lebih memikirkan acara berpasukan yang akan bermula esok (hari ini),” katanya.

Bagi acara memanah AUG 2014, kontinjen negara menyasarkan empat emas dan tidak mustahil berjaya diatasi sebaik atlet lelaki memulakan aksi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:04 AM