PEMAIN KLHC Muhammad Noor Faeez (kanan) diasak pemain TNB, Nik Muhammad Aiman Nik Rozaimi pada perlawanan Ahad lalu.

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) atau Terengganu Hockey Team (THT) bakal tersingkir awal?

Itu persoalan yang bakal terjawab hari ini apabila kedua-dua pasukan gergasi Liga Hoki Malaysia itu bertembung sesama sendiri pada aksi suku akhir Piala Tan Sri P Alagendra di Stadium Hoki Batu Buruk.

Di atas kertas, kedua-duanya dilihat mempunyai kekuatan seimbang, namun aksi hambar mereka di saingan Liga Premier, sedikit menjejaskan persiapan dalam saingan kalah mati itu.

KLHC seri dua perlawanan terakhir manakala THT mengalami kekalahan kedua selepas tewas 0-2 kepada Sapura pada aksi terakhir liga.

“Sudah pasti kami berdepan tugas sukar apabila bertemu THT di di Terengganu.

“Harap tuah terus memihak kepada kami selepas menewaskan THT pada saingan Piala Sumbangsih baru-baru ini.

“Jika kami mahu memenangi piala ini, kami tiada pilihan lain selain perlu melepasi pusingan suku akhir,” kata ketua jurulatih KLHC Muhammad Harun Al Rashid Samri.

Satu lagi perlawanan suku akhir turut menyaksikan pertembungan dua pasukan Liga Premier iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kami akan menganalisis corak permainan lawan dan bersiap sedia dengan strategi tertentu.

“Bagi saya, kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang cerah. Siapa yang benar-benar mahukan kemenangan, maka mereka pasti akan menang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 10:06 AM