KAPAL tangki MT Silver Ark. FOTO ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Pontian: Kapal tangki negara asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas disyaki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai di sini, petang semalam.

Kapal tangki MT Silver Ark itu ditahan kapal peronda APMM Daerah Maritim Johor Bahru yang ketika itu menjalankan tugas Operasi Satria Selatan / Operasi Zuhal di perairan Johor Barat di sini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim Johor Bahru, Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, kapal yang berdaftar di Kepulauan Cook itu dikesan bersauh kira-kira 4.8 batu nautika tenggara Tanjung Piai di sini.

"Kira-kira 3 petang, kita memeriksa kapal terbabit sebelum menahannya kerana didapati melakukan beberapa kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

"Ketika pemeriksaan, kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia untuk berlabuh tunggu.

"Selain itu, kapal itu juga gagal memaklumkan ketibaan kepada mana-mana pihak berkuasa perairan Malaysia ketika ditahan," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, kapal tanpa muatan itu dikatakan berlayar dari Pelabuhan Klang dan berlabuh di lokasi berkenaan sementara menunggu jadual pelayaran daripada agen kapal.

Katanya, pemeriksaan ke atas kapal mendapati lapan anak kapal terdiri daripada seorang warga tempatan dan tujuh warga Myanmar berusia antara 22 hingga 42 tahun.

"Tiga orang anak kapal termasuk seorang pegawai dibawa ke pejabat APMM Daerah Maritim Johor Bahru untuk diambil keterangan bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 4:46 PM