HAZARD pecah kebuntuan Chelsea seawal minit kesembilan.

London: Pemain sayap Chelsea yang kembali menemui sentuhan, Eden Hazard dicabar untuk meningkatkan prestasi selepas bermula cemerlang di bawah kendalian pengurus baru Antonio Conte.

Hazard, Pemain Bola Sepak Tahunan England 2015, berdepan kempen mencabar musim lalu apabila Chelsea menduduki tangga ke-10, manakala Jose Mourinho dipecat selain pemain Belgium itu sendiri gagal menjaringkan gol sehingga Mei.

Bagaimanapun, bekas pemain Lille itu dilihat kembali menemui sentuhannya.

Dilihat ada bayangan kebangkitan pada akhir musim lalu di bawah pemangku pengurus Guus Hiddink dan sekali lagi pada Euro 2016 biarpun Belgium tersingkir pada suku akhir.

Kini dengan Conte mengendalikan pasukan dan keadaan kembali stabil di Stamford Bridge, pemain yang menggalas tugas kapten pasukan negaranya di Perancis, memulakan kempen musim baru dengan prestasi cemerlang.

Dia menjaringkan gol hebat seawal minit kesembilan perlawanan ketika Chelsea menewaskan Burnley 3-0 kelmarin menjadikannya kemenangan keempat berturut-turut bagi membolehkan Blues berada di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Jaringan Willian dan Victor Moses melengkapkan kemenangan bergaya buat Chelsea, namun tidak syak lagi Hazard yang menajdi inspirasi.

“Eden pemain menakjubkan, bekerja keras dengan sikap yang hebat. Saya melihatnya seawal hari pertama lagi. Saya melihat kesungguhannya bekerja, memperbaiki prestasinya dan mencapai kecergasan dengan pantas,” kata Conte.

“Saya juga boleh katakan prestasinya juga boleh meningkat. Namun, saya berpuas hati dengan komitmen dan tahap usahanya, begitu juga pemain lain. Sikapnya bagus dan saya sukakannya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 11:32 AM