Susunan Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Hasil kajian menunjukkan merokok mengurangkan sistem pertahanan badan dan mendedahkan struktur pergigian kepada jangkitan.

Malah, perokok pula dua kali ganda lebih cenderung mendapat penyakit gusi. Renungkanlah senarai berikut yang mungkin boleh membantu anda berhenti merokok.

Risiko merokok:

1. Kehilangan gigi bagi perokok adalah dua kali ganda dibandingkan dengan bukan perokok. Merokok menggalakan pembentukan plak dan karang gigi sekali gus menyebabkan kesukaran mengawal kerosakan gigi.

2. Terdedah kepada risiko jangkitan akar gigi kerana perokok sering mengalami penyakit gusi yang lebih teruk. Apabila akar gigi terdedah, gigi menjadi sensitif ketika terkena makanan atau minuman yang panas dan sejuk.

3. Mengurangkan daya ketahanan badan untuk melawan jangkitan termasuk di dalam mulut dan gusi.

4. Menyebabkan nafas berbau, suatu keadaan yang boleh memalukan dalam pergaulan.

5. Melambatkan keupayaan badan untuk pemulihan daripada kecederaan atau pembedahan termasuk selepas mencabut gigi atau pembedahan pergigian.

6. Mengurangkan keberkesanan rawatan penyakit gusi. Jika berlaku secara berulang dan tidak terkawal, akhirnya gigi akan menjadi longgar serta terpaksa dicabut.

7. Menyebabkan gigi berkarat.

8. Menyebabkan keradangan pada kelenjar air liur di dalam mulut disebabkan haba yang dikeluarkan semasa merokok.

9. Penggunaan tembakau meningkatkan risiko kanser mulut. Menurut Pertubuhan Kanser Amerika, kira-kira 90 peratus daripada pesakit yang mengalami kanser mulut, bibir, lidah dan tekak terdiri daripada mereka yang merokok.

Perokok adalah enam kali ganda lebih cenderung untuk mendapat kanser mulut berbanding mereka yang tidak merokok .

Berhenti merokok boleh meningkatkan kesihatan pergigian dengan ketara melalui beberapa cara. Antaranya:

1. Membantu mengurangkan risiko terhadap penyakit pergigian. Tidak kira berapa lama kita menggunakan produk tembakau, berhenti merokok sekarang

boleh mengurangkan risiko penyakit gusi, kehilangan gigi dan masalah kesihatan pergigian lain.

Apabila sudah berjaya berhenti merokok, risiko kesihatan akan berkurangan secara perlahan-lahan sehingga suatu hari akan mencapai hampir sama seperti orang yang tidak pernah merokok.

2. Gusi menjadi lebih sihat. Apabila berhenti merokok, gusi boleh terhindar daripada masalah longgar dalam jangka panjang.

Perubahan pemulihan gusi akan menjadi lebih ketara selepas satu tahun berhenti merokok, jika dibanding dengan mereka yang masih mengamalkan tabiat merokok.

3. Menambah baik deria bau dan rasa. Berhenti merokok bukan mudah, tetapi sekiranya yakin anda boleh mencapai kejayaan.

Sebaik saja selepas berhenti merokok, deria bau dan rasa semakin pulih sekali gus anda boleh menikmati makanan dengan lebih baik.

4. Mencegah mulut berbau untuk meningkatkan keyakinan apabila berinteraksi dengan orang lain. Berhenti merokok akan membantu anda mengurangkan masalah bau mulut.

5. Menambah baik peredaran darah ke tisu mulut. Berhenti merokok akan meningkatkan aliran kapilari dan arteriolar darah. Ini membuatkan penampilan anda menjadi lebih berseri dan kelihatan segar.

6. Meningkatkan estetika gigi.

Selagi anda merokok, rawatan untuk pembersihan gigi agak sukar dilakukan dengan berjaya kerana kekotoran akan berulang.

Selagi anda masih merokok, rawatan yang dilakukan hanya memberikan hasil sementara. Justeru, jika berhasrat untuk kejayaan jangka panjang, anda perlu berhenti merokok.

Sumber: Portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 11:15 AM