ANTARA mereka yang menjayakan program.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Memasuki musim ketiga diterbitkan, program Kokolog masih mengekalkan konsep dan genre program majalah TV (Travelog Makanan) iaitu kombinasi masakan dan penjelajahan atau travelog berinformatif.

Bagi memastikan ia lebih menarik, program itu disuntik kelainan dari segi penggunaan kenderaan rasmi Kokolog sebagai medium promosi bergerak ketika penjelajahan penggambaran.

Kenderaan rasmi itu dilengkapi peralatan memasak yang digunakan ketika segmen sajian oleh cef jemputan.

Program terbitan Kalam­Ariff Holdings itu sudah mula bersiaran pada 7 Ogos lalu dan berakhir 30 Oktober ini di TV2, setiap Ahad, jam 10.30 pagi.

Penerbit program , Arifful Ahmadi Ab Rahman berkata, pengacara tetap Kokolog ialah Cef Dr Kamarul Hasni Che Rose, manakala cef jemputan untuk setiap episod terdiri daripada Cef Johari Edrus @ Papa Joe, Cef Zubir Md Zain, Cef Adu Amran Hassan, Cef Datuk Dr Fadley Yaacob, Cef Amer Hamzah Ahmad, Cef Mohd Fikree Najib Aznan, Cef Hussain Khan, Cef Siti Mastura Alwi, Cef Emelda Harris dan Cef Mohamad Azli Ramli.

“Pengisian program itu dimulakan dengan segmen Sihat Bersama Koko iaitu memberi maklumat dan kesedaran kepada penonton mengenai amalan pengambilan produk makanan dan bukan makanan berasaskan koko dalam kehidupan seharian.

“Amalan sihat ini memberi sokongan ke arah gaya hidup yang sihat,” katanya.

Arifful berkata, segmen Sajian Koko pula mengap­likasi koko dalam masakan dan aspek pemakanan.

“Keistimewaan koko sebagai bahan dalam resipi masakan akan dapat memperkenalkan koko sebagai satu produk universal, menyihatkan, memberi keceriaan dan mencerminkan kasih sayang,” katanya.

Segmen lain dalam program ini ialah Destinasi Koko, Khidmat Tanggung­jawab Sosial Koko dan Kreatif Koko.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 10:50 AM