ANTARA persembahan yang menarik perhatian juri.
PEMENANG pertandingan bergambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah.
myMetro

Sepuluh pasukan dari beberapa sekolah terpilih menyertai pertandingan Petrosains Science Show Competition peringkat Kuala Lumpur di Menara Bank Islam, baru - baru ini.

Pertandingan kali kelapan anjuran Petrosains The Discovery Centre itu bertujuan mempopularkan subjek sains, selain inisiatif menggalakkan kaedah pembelajaran berkesan dan tidak formal dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, pertandingan itu juga selaras dengan tanggungjawab sosial Petrosains sebagai wadah dalam bidang pendidikan.

“Kami gembira kerana pertandingan ini sentiasa mendapat sambutan hangat setiap kali diadakan. Ini menunjukkan pendekatan ini mampu menarik minat pelajar.

“Melalui pertandingan ini, mereka mempelajari dan mendalami subjek sains melalui seni persembahan, sekali gus mendapat pengalaman untuk meningkatkan kemahiran dalam proses sains, menambah keyakinan diri serta menjadi pemikir kritis dan kreatif.

“Guru juga dapat menggunakan teknik berkesan ketika mendidik pelajar dengan menambah keseronokan dalam pembelajaran,” katanya.

Pertandingan mendapat sokongan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan dan Bank Islam dengan penajaan berjumlah RM400,000.00

Dalam pertandingan itu, pelajar dikehendaki mempersembahkan konsep sains dipelajari di sekolah secara kreatif selama 15 minit.

Mereka juga perlu menjalankan eksperimen atau demonstrasi bagi menerangkan teori sains sama ada secara individu atau pasukan seramai dua orang.

Dalam pertandingan itu, SMK Convent Bukit Nanas muncul juara manakala SMK (P) Pudu membolot tempat kedua dan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 10:42 AM