Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Banduan yang melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, Sabtu lalu, ditangkap di bawah rumah di Padang Lembik, Ketereh, 5.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, ketika kejadian, pihaknya yang membuat rondaan di kawasan sekitar menerima maklumat suspek dikenali sebagai Tolip, 27, berada di lokasi berkenaan.

Katanya, pemeriksaan dibuat dan menemui suspek sedang baring di bawah rumah keluarga banduan terbabit.

"Suspek ditangkap dengan bantuan pegawai penjara selepas berlaku sedikit pergelutan.

"Dia dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan akan direman di mahkamah pagi ini," katanya.

Harian Metro melaporkan dua banduan meloloskan diri dari Penjara Pengkalan Chepa pada 12.30 tengah hari, Sabtu lalu sebelum seorang daripada mereka ditangkap setengah jam kemudian ketika menceroboh masuk Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Bagaimanapun seorang lagi banduan melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 10:15 AM