Agensi

Medan: Seorang pengebom berani mati cuba meletupkan dirinya di sebuah gereja di sini, semalam tetapi gagal selepas bom yang diletakkan di dalam beg sandangnya gagal meletup, kata polis.

Jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar berkata, serangan yang berlaku di Gereja Roman Katolik St Yoseph di sini menyebabkan seorang paderi cedera akibat ditetak dengan kapak oleh penyerang.

“Penyerang bangun dari bangku dan terus berlari ke arah paderi yang sedang menyampaikan ceramah, tetapi bom di dalam beg sandangnya tidak meletup.

“Lelaki itu terus berlari ke arah paderi dengan membawa beg sandangnya yang terbakar, tetapi dia berjaya ditangkap oleh pengunjung lain,” katanya.

Menurutnya, sebelum ditangkap suspek sempat mengeluarkan kapak dan menyerang paderi berkenaan.

“Serangan itu menyebabkan paderi Albert Pandiangan, 60, cedera ringan di tangan,” jelasnya.

Pasukan pemusnah bom turut meletupkan beg dan barangan yang dibawa suspek untuk mematikan sebarang bahan letupan.

Menurutnya, polis menyoal siasat suspek berusia 18 tahun berkenaan yang memberitahu, dia bukan bertindak seorang diri.

Tambahnya, polis kini menyiasat motif serangan itu.

Seorang saksi, Markus Harianto Manullan berkata, ketika kejadian gereja itu penuh dengan pengunjung dan dia melihat suspek yang memakai jaket serta membawa beg duduk sebaris dengannya.

“Tidak lama kemudian saya melihat dia mengeluarkan sesuatu di dalam jaket sebelum saya terdengar bunyi letupan kecil.

“Lelaki itu segera bangun dan terus meluru ke arah paderi yang sedang menyampaikan ceramah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 10:14 AM