SEBUAH kereta kebal Turki kembali ke negara itu selepas terbabit dalam serangan di utara Syria. - EPA
Agensi

Beirut: Bedilan dan serangan udara yang dilakukan tentera Turki menyebabkan sekurang-kurangnya 40 rakyat Syria terbunuh, kesan pertama terhadap orang awam selepas Ankara meningkatkan kempen ketenteraannya di utara negara jirannya.

Turki meningkatkan serangannya itu selepas seorang askarnya terbunuh dalam kempen serampang dua matanya - untuk mengusir kumpulan pengganas Daish dari kawasan sempadan dan menyekat militia Kurdis Syria daripada menguasai lebih banyak kawasan di sempadannya.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, sekurang-kurangnya 20 orang awam terbunuh dan 50 cedera dalam serangan meriam dan udara terhadap Kampung Jeb el-Kussa awal semalam.

Seramai 20 lagi mati dan 25 cedera, kebanyakannya parah, dalam serangan udara berhampiran bandr Al-Amarneh, kata SOHR.

Jurucakap pentadbiran Kurdis di kawasan terbabit berkata, 75 orang terbunuh di kedua-dua kampung.

Menurut SOHR, bedilan menyasarkan kawasan selatan bandar Jarabulus, bekas kubu Daish yang ditawan tentera Turki dan kumpulan penentang rejim Presiden Bashar al-Assad yang disokongnya pada hari pertama pencerobohan Rabu lalu.

Sejak itu, pertempuran semakin sengit di selatan bandar berkenaan yang menyaksikan pertempuran antara tentera Turki dan militia Kurdis Syria yang dianggap Ankara kumpulan pengganas yang ada hubungan dengan militan Kurdis Turki.

Militan Kurdis berkenaan yang mendapat sokongan Amerika Syarikat sebelum ini berperang dengan Daish di Syria, tetapi Turki menentang sebarang langkah mereka untuk meluaskan penguasaan terhadap wilayah yang ditinggalkan kumpulan Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 10:05 AM