Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang meninggal dunia. FOTO ihsan bomba
Siti Nadzirah Che Mud

 

Kuala Krai: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta di Kilometer 80 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Bukit Akim, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Nik Mohd Hafif Abdul Malik, 31, dari Kampung Padang Selising, Machang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Penumpang kereta berusia 29 tahun parah manakala pemandu kereta dan seorang lagi penumpang cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika kejadian kereta dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki itu hilang kawalan dipercayai akibat jalan licin sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar mangsa.

"Penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat parah di kepala," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Mohd Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.21 petang sebelum lapan anggota ke lokasi kejadain.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati seorang mangsa meninggal dunia manakala pemandu kereta dan dua penumpang yang lain sudah dikeluarkan, " katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 1:11 AM