Lokasi mayat Dahlia ditemui. FOTO Mohd Shukor Amin
Mohd Shukor Amin
am@hmetro.com.my


Sabak Bernam: Mayat seorang wanita, Dahlia Basir, 44, ditemui dalam keadaan duduk di kerusi panjang rumahnya di Taman Sentosa, dekat sini kira-kira 8 malam tadi.

Ibu saudara mangsa, Hasnah Donan, 68, berkata, bau busuk dari rumah anak saudaranya itu menyebabkan dia berasa tidak sedap hati sebelum memanggilnya namun tiada jawapan.

Katanya, dia menghubungi polis sebelum anggota polis datang membuka pintu dan menemui mayat anak saudaranya itu.

"Dua atau tiga hari sekali mak cik melawatnya yang tinggal berjiran memandangkan arwah tinggal berseorangan selepas ibunya meninggal dunia enam tahun lalu," katanya.

Menurut Hasnah, arwah mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis serta terpaksa makan ubat setiap hari.

Katanya, anak saudaranya dipercayai meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.

"Arwah masih bujang dan dia menyara hidupnya dengan mengambil upah membantu jiran menjual nasi lemak dan kuih-muih di gerai berhampiran," katanya.

Hasnah berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah Khamis lalu dan tiada perubahan ketara dilihat pada dirinya selain arwah demam dan kurang berbual sehinggalah penemuan mayat ini.

"Mak cik sedih dengan cara kematian arwah namun reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya.

Difahamkan mayat arwah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) dekat sini untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 11:32 PM