Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Seorang pengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kota Bharu yang sebelum ini direman berhubung kes rasuah dan penggubahan wang haram dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Majistret di sini, tadi.

Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri membenarkan suspek berusia 47 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, suspek direman sejak 16 Ogos lalu dan berakhir hari ini disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah jam 11.20 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan memakai baju lokap SPRM.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri, pengarah kanan sebuah jabatan kerajaan di Melaka bergelar Datuk dan seorang pengurus agensi kerajaan di Kelantan direman tujuh hari di tiga Mahkamah Majistret berasingan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki dipetik berkata, akaun milik ketiga-tiga suspek melebihi RM13 juta dibekukan meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai RM1 juta hingga RM6 juta bagi setiap yang ditahan.

Semalam, tempoh tahanan reman seorang jurutera di syarikat GLC sama dilanjutkan lima hari lagi manakala dua lagi juruteknik dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 2:07 PM
PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi pengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kota Bharu yang berusia 47 tahun selepas dibebaskan dengan jaminan RM300,000. FOTO Syamsi Suhaimi