Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Drama TV popular Korea, Doctors melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Barisan pelakon serta kru mula membuat persiapan untuk mengucapkan selamat tinggal.

Pelakon drama itu, Park Shin Hye memuat naik foto ‘selfie’ bersama Kim Rae Won dan menulis status mengusik hati di laman Instagramnya.

Drama Doctors berjaya mendapat tempat di hati peminat kerana keserasian lakonan mereka berdua. Laman sosial mereka dipenuhi ucapan terima kasih kepada produksi yang banyak mendewasakannya.

Memegang watak Hye Jung dalam drama itu, Shin Hye akui bagaimana watak Hye Jung berkembang dalam drama, dia mendapati dirinya turut menjadi dewasa.

“Selama empat bulan menjalani penggambaran, saya temui kebahagiaan dalam hidup. Saya akui payah untuk ‘melepaskan’ drama dan watak ini kerana terlalu banyak kenangan manis tersendiri,” katanya.

Menggunakan ‘hashtag’ #thisismyman untuk ‘posting’ itu, ia merujuk kepada insan yang berkongsi foto dengannya, Kim Rae Won.

Penggunaan hashtag itu membuatkan ada yang berpendapat wujud perasaan cinta antara mereka berdua. Mereka yang mengikuti drama itu pasti ingat babak pengenalan apabila dengan jelas menunjukkan watak Hong Ji Hong dan Yoo Hye Jung akan bersama.

Babak mengayuh basikal menunjukkan seolah-olah sudah membuktikan matlamat hubungan mereka kepada peminat. Mereka juga menunjukkan betapa rapatnya hubungan terjalin antara kedua-duanya.

Sementara itu, bagi meraikan selesainya penggambaran drama itu, pasukan produksi bercuti di lokasi menarik sekitar Korea Selatan selama dua hari satu malam. Ia dikatakan berlangsung 26 Ogos lalu.

Episod terakhir Doctors ditayangkan pada 24 Ogos lalu menerusi saluran One HD dan rating tontonan untuk episod akhir dipercayai mencecah lebih 19.5 peratus.

Difahamkan, ia peratusan tertinggi jika dibandingkan dengan program hiburan lain seperti Monster menerusi MBC dan Beautiful Mind dalam KBS 2TV.

Data dikeluarkan Nielsen Korea menunjukkan dari segi indeks kandungan (CPI), Doctors berada di tangga kedua dengan 266.4 jumlah mata manakala W berada di tempat pertama dengan 273.3 jumlah mata.

Apa yang membuatkan drama Doctors sangat kuat tarikannya disebabkan peminatnya. Mereka kekal menontonnya walaupun peringkat awal drama itu mengalami rating rendah.

Peminat tegar juga mendesak musim kedua drama dihasilkan. Bagaimanapun, belum ada keputusan dibuat lantas permintaan untuk musim kedua masih samar.

Difahamkan, banyak plot dalam drama Doctors tidak diperkembangkan lagi dan ia boleh dimasukkan dalam musim kedua. Ada peminat berpendapat, untuk musim kedua sisi romantik dan huhungan antara Ji Hong dan Hye Jung masih boleh dikembangkan lagi.

Drama ini difahamkan jauh lebih berjaya berbanding drama Descendants of the Sun yang disiarkan sebelum ini. Malah Descendants of the Sun akan kembali untuk musim baru tetapi dengan jalan cerita berbeza.

Malangnya, kebanyakan drama Korea sukar mengikut paten muncul dengan sekuel tetapi peminat tetap membuat spekulasi pelakon kesayangan mereka kembali dalam musim baru.

Drama yang mula bersiaran Jun lalu mengisahkan dugaan dan cabaran yang dilalui Hye Jung, daripada remaja yang degil kemudian memilih untuk menjadi jurubedah. Ji Hong lakonan Rae Won pula selalu memberikan galakan kepadanya untuk menjadi doktor dan mereka akhirnya saling jatuh cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:05 AM