KELOMPOK peserta Kayuhan Hulubalang menguasai jalan raya untuk bersaing dalam lima kategori dipertandingkan.
AKSI peserta sepanjang kayuhan.
GELAGAT peserta ketika berhenti rehat.
SUDIN bergambar bersama peserta lain.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Mereka tiada keris, pedang atau tombak. Malah tidak bertanjak mahupun semutar. Sebaliknya, senjata mereka hanya basikal. Dengan basikal juga mereka menjalankan misi kemasyarakatan membantu meringankan beban golongan asnaf sebagai tanda prihatin pada nasib mereka.

Itu kehebatan Hulubalang Wakaf, kelab basikal yang bernaung di bawah Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan menjadikan aktiviti berbasikal sebagai penggerak aktiviti mereka.

Malah, baru-baru ini seramai 120 hulubalang turut berbasikal dalam Kayuhan Hulubalang di Tangkak, Johor yang turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan, penduduk kampung serta pelajar GIATMARA Johor.

Sebanyak empat aktiviti diadakan membabitkan Kayuhan Hulubalang, Jamuan Raya Perdana, Bantuan Wakaf Prihatin dan Ceramah Wakaf.

Dalam misi kemasyarakat mereka di daerah Tangkak, YWM memulakan program dengan bantuan memperbaiki pendawaian elektrik di 32 rumah asnaf sekitar Tangkak membabitkan kampung di Gugusan Sagil, Kampung Parit Kassan dan Kampung Sawah Ring.

Seramai 80 pelajar GIATMARA terbabit dalam kerja pembaikan ini yang mengambil masa tiga hari. Misi YWM ini tambah menarik apabila Kayuhan Hulubalang di Johor kali pertama memperkenalkan konsep perlumbaan dengan tawaran hadiah wang tunai kepada pemenang.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan membabitkan kategori junior, senior, senior master dan veteran selain kategori khas untuk pengayuh wanita yang semuanya mencabar keupayaan berkayuh sejauh 90 kilometer (km).

Menariknya, perlumbaan sejauh 90km ini yang bermula jam 8 pagi menerapkan beberapa elemen berbeza iaitu bagi 20km pertama, semua pelumba perlu mengikut konsep ‘Jangan Potong Dato’ iaitu tidak boleh memintas Pengerusi YWM, Datuk Dr Sudin Haron.

Hanya selepas ‘check point’ pertama dan dilepaskan semula oleh Sudin, baru perlumbaan sebenar dalam kalangan peserta bermula untuk menamatkan baki perlumbaan sejauh 70km.

Seperti dijangka, perlumbaan berkenaan memang mencabar kemampuan peserta apabila trek perlumbaan memasuki kawasan berbukit di gugusan Felda Bukit Serampang dan Felda Sri Jaya.

Halangan berbukit ini membuatkan semangat kebanyakan peserta pudar hinggakan dua lori yang disediakan untuk memberi bantuan dipenuhi dengan peserta yang kepenatan.

Bagi kebanyakan peserta kayuhan kali ini memberikan mereka seribu kenangan dan kebanyakannya mahu YWM mengadakan kayuhan kedua di laluan yang sama pada masa akan datang.

Pertandingan selesai kira-kira jam 12 tengah hari dan semua peserta berkumpul di Dewan Tok Parjo bersama-sama dengan asnaf yang menerima bantuan dan juga penduduk Gugusan Sagil.

Di majlis itu diadakan acara pemberian hadiah kepada pemenang pertandingan kayuhan. Selain itu diadakan acara simbolik penyerahan sijil oleh GIATMARA kepada asnaf yang menerima bantuan.

Sudin ketika ditemui berkata, perlumbaan berkenaan sememangnya kali pertama diadakan YWM dalam usaha merancak serta menyemarakkan lagi aktiviti berbasikal.

“Sudah menjadi kebiasaan dalam misi kebajikan YWM, semua ahli Hulubalang Wakaf akan berkayuh untuk mendekati golongan asnaf dan menyampaikan bantuan.

“Tapi, kayuhan kali ini kita selitkan konsep perlumbaan yang menawarkan hadiah wang tunai kerana mahu lari daripada kebiasaan.

“Ternyata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan hinggakan ramai yang ingin menyertainya tetapi kita terpaksa hadkan kepada 120 tempat sahaja kerana konsep perlumbaan ini kali pertama dianjurkan YWM dan kita tak mahu sebarang kejadian luar kawalan,” katanya.

Menurutnya, YWM mengalu-alukan penyertaan individu luar yang berminat untuk menjadi ahli kelab Hulubalang Wakaf selain mengalu-alukan sumbangan badan korporat atau individu yang ingin turut sama membantu golongan asnaf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:03 AM